Thursday, July 2, 2009

Modem Wi-Fi Tak Sampai-sampai

Sudah dua minggu mama memohon modem wi-fi daripada TMPoint.  Sampai hari ini, modem wi-fi yang dijanjikan belum diketahui beritanya.  Mulanya mereka kata, boleh mohon penghantaran melalui kurier, dalam masa tiga hari akan dihantar.  Tapi kena bayar RM14.00 untuk khidmat kurier.  Mama yang dah berjanji dengan kakak dan adik nak pasang wi-fi tidak keberatan bayar asalkan bendanya ada.  Selepas seminggu, mama pergi semula ke TMPoint.  Dia batalkan tempahan melalui kurier.  Buat apa bayar RM14.00 kalau produk yang dijanjikan tiga hari sudah menjangkau seminggu pun belum dihantar.  Mama minta modem yang dilihatnya banyak di TMPoint hari itu tapi staffnya kata, tak boleh, itu untuk orang yang dah buat pesanan.  Macam mana TM beroleh anugerah pun tak tahulah sedangkan perkhidmatannya sedemikian rupa.  Iklan jalur lebar kombonya saban hari dalam media, memberitahu umum supaya datang berlanggan tapi bila pelanggan sedia ada mahu bertukar, begini pula layanan yang diperolehi.  Mungkin lebih baik jika kos membiayai iklan yang banyak itu disalurkan untuk memastikan khidmatnya sejajar dengan promosi yang dilakukan.  Jika ada pilihan, boleh juga bertukar ke penyedia perkhidmatan yang lain.  Mentang-mentang TM masih monopoli, maka dia sesuka hati mengecewakan pelanggan sesuka hatinya.

Saturday, June 27, 2009

Selamat Hari Bapa

Kakak beria-ia minta belikan cardboard untuk dia sebelum sambutan Hari Bapa berlangsung. Ayah yang sibuk atau buat-buat sibuk tidak begitu endah dengan kehendak kakak, bertangguh-tangguh untuk memenuhi permintaannya. Hari berganti minggu, kakak seakan merajuk kerana kemahuannya masih belum dipenuhi. Pada mulanya, ayah dah cuba buatkan kad daripada kotak terbuang tetapi tidak berapa menjadi. Akhirnya, selepas solat Jumaat, ayah singgah di kedai untuk beli keperluan untuk buat kad, cardboard, gam dan kertas. Sebelah malamnya ayah meluangkan masa untuk menyiapkan kad. Pengalaman ayah membantunya menggunakan bahan mentah yang dibelinya sehingga menjadi dua keping kad yang cantik.  Kakak tidak dapat menyembunyikan keriangan apabila melihat hasil kerja ayah yang diidamkan selama ini.  Tanpa membuang masa, kakak terus mencoretkan ucapannya pada kedua-dua keping kad.  Salah satu kad, ditulis nama adiknya yang masih belum boleh menulis sebaik kakak.  Bahagian dalam kad dibentukkan bingkai garisan serta dilukis dengan kartun yang menggambarkan empat orang, ayah, mama, kakak dan adik.  Sekeliling bingkai kad itu dihias dengan bentuk-bentuk ringkas yang menarik.  Kakak tidak sempat menyiapkan kadnya pada malam itu.  Dia mahu mewarnakan kad itu sepenuhnya supaya jadi lebih menarik.